KUCHING: Karnival Medan Niaga Satok 2025 kembali meriah apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menghadiri acara tersebut di sini, pagi tadi.
Dalam kemuncak program hari ini, Toh Puan tampil mengendalikan demonstrasi masakan khas dengan memperkenalkan tiga hidangan istimewa iaitu sardin, sup ayam dan midin goreng.
Sepanjang sesi tersebut, beliau berkongsi rahsia bahan-bahan serta kaedah penyediaan setiap sajian bagi menggalakkan pengunjung mencuba sendiri masakan tradisi Sarawak di kediaman masing-masing.
Selesai sesi masakan, Toh Puan dan Tun Pehin Sri meluangkan masa meninjau deretan gerai serta pameran yang menampilkan produk tempatan.
Mereka turut beramah mesra dengan para usahawan sebagai simbol sokongan terhadap pengukuhan industri agromakanan negeri.
Majlis turut dihadiri Bendahari Agung Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri Menteri (SABATI), Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin; Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, dan isteri; Pengerusi Puspanita serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Salina Nawi; Pengarah FAMA Negeri Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir; bersama tetamu-tetamu lain.
Karnival Medan Niaga Satok berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025.
