BETONG: Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan tanggapan bahawa Kerajaan Sarawak menganiaya atau mendiskriminasi firma dari China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di negeri ini.
Uggah berkata, tanggapan itu timbul berikutan penamatan kontrak pihak kontraktor dari China sebelum ini yang mengendalikan pembinaan Jambatan Batang Rambungan di Kuching baru-baru ini.
“Sebenarnya, kami mempunyai beberapa firma kejuruteraan dari China yang terlibat dalam pelaksanaan projek infrastruktur besar kami dengan rakan kongsi tempatan di seluruh negeri.
“Kami sentiasa sangat objektif dalam penilaian terhadap prestasi mana-mana kontraktor dalam projek di Sarawak,” katanya kepada media selepas melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Saribas 2 di Beladin di sini, hari ini.
Selain itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan itu menambah Kerajaan Sarawak hanya mengenakan peraturan dan undang-undang bagi memastikan kontraktor menyiapkan projek tepat pada masanya.
Bercakap engenai projek Jambatan Batang Lupar 1 yang bernilai RM848.745 juta, Uggah berkata ia dijangka siap menjelang November.
Sementara itu, projek Jambatan Saribas 1 yang bernilai RM375.5 juta disasarkan siap pada April 2025 manakala projek Jambatan Saribas 2 yang menggunakan dana RM385 juta pula dijangka siap pada 1 Ogos 2025.