KUCHING: Sarawak akan menubuhkan Lembaga Pelabuhan Pusat (satu entiti) yang akan mengawal selia semua pelabuhan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan mencadangkan undang-undang penubuhan lembaga terbabit dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Mei depan.
Katanya, ini akan dilakukan menteri bertanggungjawab iaitu Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Bermakna dengan adanya lembaga tersebut kita akan mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan akan menjadi sebahagian pelabuhan yang ada di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak di DUN Sarawak di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, ini sudah dibincangkan dengan Kerajaan Pusat dan pihaknya akan mendedahkan nama lembaga terbabit pada Jun depan selepas undang-undang penubuhannya diluluskan di persidangan DUN Sarawak akan datang.
“Dengan undang-undang itu, maka kita boleh menyelia pelabuhan di Sarawak termasuklah Pelabuhan Bintulu,” tambahnya.