Upacara naikkan bendera Ibu Pertiwi mampu jadi tarikan pelancong

KUCHING: Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi akan diselitkan dengan persembahan pelbagai kaum dan etnik Sarawak untuk menjadikannya lebih menarik.

Cadangan itu dikemukakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana yakin upacara simbolik itu menjadi tarikan pelancong seperti perarakan pertukaran pengawal di Istana Buckingham.

Katanya, upacara ini harus diadakan pada waktu tetap, supaya orang ramai boleh menyaksikannya tanpa perlu pemakluman awal.

“Seperti yang dilakukan ‘Buckingham Palace’ di London iaitu ‘Change Of Guard’, itu dibuat setiap hari namun masa upacara telah ditetapkan. Ia membolehkan bukan orang tempatan dan pelancong mengetahuinya.

“Jadi itu yang kita harus lakukan dan upacara sebegini kita perlu bekerjasama dengan setiap pemegang taruh yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi Edisi November di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kenamaan lain.