LAWAS: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari meneruskan usaha mendekati masyarakat melalui Program Jelajah Zon, menyantuni anak-anak yatim dan golongan memerlukan.
Ketua Wanita Cawangan Bukit Sari, Auji Najian Garip, berkata program ini adalah kesinambungan usaha cawangan untuk mendekati komuniti di seluruh ranting Bukit Sari, termasuk Kampung Pemukat, Dato, Nor Islam dan Haji Bayan di Zon Kuala Lawas.
Seramai 72 peserta hadir di Anjung Usahawan Kampung Pemukat, dengan 32 anak yatim menerima sumbangan.
Menurut Auji Najian, program ini bukan sahaja memberi bantuan material tetapi juga sokongan moral untuk meningkatkan keyakinan diri dan kesejahteraan emosi mereka.
“Walaupun sumbangan tidak seberapa, kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang diterapkan dapat mengeratkan hubungan komuniti,” katanya, menegaskan bahawa Wanita Parti PBB Bukit Sari sentiasa bergerak mendekati rakyat tanpa mengira musim atau waktu tertentu.
Program ini juga selari dengan amanat Ketua Cawangan Bukit Sari merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan semangat kesetiaan kepada pemimpin parti, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bagi memastikan keutamaan dan kepentingan rakyat Sarawak terus menjadi fokus perjuangan.
