KUCHING: Seramai 154 pemilik rumah teres setingkat Fasa Lima Borneo Samariang Garden menerima Permit Menduduki (OP) hari ini.
Majlis penyerahan itu sekali gus mengakhiri penantian pemilik lebih lima tahun.
Majlis diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan Teres satu tingkat Fasa lima, Borneo Samariang Garden (JBPF5), Mohd Zulfika Abdolkader berkata, lebih kurang 700 pembeli rumah fasa tujuh, Spektra 1 dan Spektra 2 bagi Pembangunan Perumahan Sentoria yang lain masih belum tahu nasib rumah mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak melalui agensi dan kementerian berkaitan meletakkan komitmen tinggi bagi menyelesaikan masalah ini.
“Kami juga berpendapat bahawa Kerajaan Sarawak perlu mewujudkan mekanisma baharu yang lebih efektif untuk pemaju perumahan,” katanya.
Katanya, ini bagi memastikan pemaju tersebut lebih bertanggungjawab terhadap projek perumahan mereka, terutamanya apabila projek itu bermasalah.