Terima kasih Kerajaan Sarawak, bantu selesaikan kemelut perumahan Sentoria

KUCHING: Pembeli rumah di sebuah perumahan teres satu tingkat B 23/Fasa 5 Borneo Samariang Garden di sini menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kejayaan menangani kemelut perumahan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan (JBPF5), Mohd. Zulfika Abdolkadir, berkata, kerajaan pimpinan Premier Sarawak, Abang Johari menunjukkan komitmen dan keprihatinan dalam menyelesaikan isu perumahan yang sekian lama tertangguh.

“Sebelum itu, JBPF5 mendapati isu itu mustahil untuk diselesaikan tetapi atas komitmen Kerajaan Sarawak, ia berjaya diselesaikan,” katanya selepas majlis penyerahan Permit Menduduki (OP) kepada pembeli pembangunan Perumahan Sentoria di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan mendapatkan OP pada hari ini, adalah hasil komitmen Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu itu.

“Saya juga menzahirkan terima kasih kepada ahli JBPF5 atas komitmen yang tinggi dalam usaha memperjuangkan hak kita sebagai rakyat di Bumi Kenyalang ini.

“Selain itu… saya dan rakan pembeli yang lain turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu dalam memastikan pemaju menunaikan janji untuk menyiapkan projek perumahan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof membiayai khidmat guaman kepada pemilik untuk memperjuangkan hak mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Kami juga mengucap terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalannya, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

“Mereka secara tidak langsung banyak membantu dalam menyelesaikan masalah berhubung perumahan ini.

“Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel turut datang ke pejabat Sentoria berunding dan berbincang dengan pemaju bagi menyelesaikan masalah perumahan Sentoria,” katanya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut membantu penyiapan projek perumahan itu.

“Tanpa beliau perjalanan untuk kami mendapatkan rumah ini mungkin akan menjadi lebih rumit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan warga kerja DBKU.

Untuk rekod, projek perumahan yang bermula sejak 2018 itu membabitkan lebih 1,000 unit rumah terdiri fasa empat, lima dan tujuh membabitkan kira-kira 600 unit, manakala Spektra 1 dan Spektra 2 pula 500 unit.

Tahun lalu, Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengambil alih projek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, isu perundangan perlu diselesaikan terlebih dulu kerana pemaju terbabit adalah syarikat senarai awam.