Sedia hadapi perubahan pembangunan

GEDONG: Penduduk di daerah ini khususnya belia dinasihat agar bersedia menghadapi perubahan pembangunan di kawasan ini.

Wakil Khas kepada Premier Sarawak di DUN N.26 Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais, berkata pembangunan infrastruktur dan rangkaian jalan raya baharu yang menghubungkan Gedong dengan kawasan sekitarnya bakal membuka lebih banyak peluang kepada penduduk.

Katanya, pembangunan kawasan pentadbiran baharu di kawasan Isthmus dijangka memberi kesan positif terhadap perkembangan Gedong, sekali gus menjadikan daerah itu sebagai antara kawasan yang semakin mendapat perhatian.

“Apabila rangkaian perhubungan baharu siap dan pembangunan kawasan pentadbiran baharu di Isthmus berkembang, Gedong berpotensi menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg yang juga ADUN N.26 Gedong menangguhkan acara Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong di Masjid Al-Kawthar Gedong hari ini.

Katanya, kemahiran dalam bidang teknikal khususnya amat penting kerana pelbagai projek pembangunan akan memerlukan tenaga kerja berkemahiran termasuk dalam bidang tenaga yang dihasil melalui rumpai laut.

Pada majlis itu, Mohd Naroden yang juga Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan sepanjang sambutan Maulidur Rasul sejak Jumaat lalu.

Surau Darul Islam, Kampung Tengah Hulu Gedong diumumkan sebagai pemenang keseluruhan.

Manakala Surau Al-Muttaqin, Kampung Lot Fasa 1 Gedong menang hadiah pertama pertandingan pintu gerbang, sementara mantan Imam Masjid Al-Kawthar Gedong, Sudin Sulong dipilih sebagai Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong 2026.

Pada majlis yang sama, Mohd Naroden juga menyampaikan wartikah perlantikan ketua masyarakat baharu dan watikah perlantikan semula ketua masyarakat di daerah Gedong.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab, Pegawai Penyelaras Tugas Khas Premier Sarawak, Cr Jaafar Mostapha, Timbalan dan Pemangku Presiden Bank ACE Investment, Dato’ Posa Majais, Pengerusi Madrasah An-Nur Gedong, Dato Ismaili Bujang Pit dan Pemanca Abang Ronee Abang Sa’adili, serta beberapa ketua-ketua masyarakat dan pengerusi masjid dan surau di kawasan Gedong.