DALAT: Pembangunan komuniti perlu bergerak seiring dengan usaha membentuk masyarakat yang bersatu, prihatin dan saling menyokong.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembentukan ummah maju dan makmur bermula daripada institusi keluarga yang baik, komuniti bersatu serta masyarakat saling menyokong tanpa mengira latar belakang.
Oleh itu, katanya tema Sambutan Maulidur Rasul ‘Ummah Maju Makmur’ membawa pengertian luas kerana kemajuan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan pencapaian ekonomi.
Sebaliknya, merangkumi kekuatan hubungan serta nilai kemasyarakatan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Dalat Tahun 1448H/2026M di Kompleks Kebajikan Dalat hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, sambutan Maulidur Rasul juga wajar dijadikan ruang untuk umat Islam menghayati akhlak dan teladan Nabi Muhammad SAW, selain memperingati kelahiran Baginda.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul yang melibatkan dua kategori.
Masjid An-Nur Kampung Balan muncul johan kategori Masjid, Surau dan JKKK, manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat menjuarai kategori agensi kerajaan, swasta, NGO dan sekolah.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan geran Projek Transformasi Luar Bandar (MRP) ADUN Dalat Tahun 2026 Fasa 3 berjumlah RM1,129,460 kepada 52 penerima bagi menyokong pelaksanaan pelbagai keperluan masyarakat.
