Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Maulidur Rasul

SARATOK: Semangat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW kekal di hati walaupun perarakan Maulidur Rasul dibatalkan susulan jerebu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keputusan itu perlu dilihat dari sudut spek keselamatan dan kesihatan peserta, khususnya kanak-kanak serta warga emas, diutamakan.

Menurutnya, Maulidur Rasul bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk umat Islam bermuhasabah serta menerapkan sunnah, akhlak dan ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan.

“Yang penting daripada perarakan ialah menghidupkan sunnah, akhlak dan ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2026 Peringkat Daerah Saratok di Masjid Al Muhtadin, di sini, hari ini.

Mohamad Duri berkata, nilai kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan iman, ilmu, akhlak, keadilan dan kasih sayang turut selari dengan agenda pembangunan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Marilah kita jadikan sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar peringatan terhadap sejarah kelahiran Rasulullah SAW, tetapi sebagai titik perubahan untuk memperbaiki diri, memperkukuhkan keluarga, mempererat perpaduan dan membina masyarakat,” katanya.