Jambatan Datuk Amar Juma’ani raih tiga pengiktirafan Buku Rekod Malaysia

KUCHING: Jambatan Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang menerima tiga pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (MBOR) bagi pencapaian kejuruteraan uniknya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, jambatan berkenaan diiktiraf sebagai jambatan kabel tiga kaki pertama, terpanjang dan tertinggi di Malaysia.

“Pengiktirafan ini menjadikan jambatan berkenaan antara mercu tanda kejuruteraan tersendiri di Sarawak selain mencerminkan komitmen terhadap penyediaan infrastruktur berkualiti untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Sijil rasmi bagi ketiga-tiga rekod itu disampaikan pada Majlis Apresiasi JKR Sarawak, semalam, yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Reka bentuk tiang tiga kaki dengan susunan kabel yang unik menjadikan jambatan ini bukan sekadar laluan penghubung malah mercu tanda baharu yang mencorakkan identiti bandar Kuching,” kata kenyataan itu.

Jambatan berkenaan dibuka 5 Ogos 2025 dinamakan sempena Allahyarham Datuk Amar Juma’ani sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada masyarakat, khususnya di kawasan Satok.

Jambatan itu turut menyediakan laluan alternatif antara Jalan Datuk Ajibah Abol dan Jalan Haji Mataim.