Sarawak bina Pusat Velodrom selepas proses awal selesai, puas hati pencapaian SUKMA XXII

ASAJAYA: Pusat Velodrom Sarawak bagi acara lumba basikal kemungkinan akan mula dibina pada tahun depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pusat terbabit akan dibina di kawasan kompleks sukan di bandar raya ini.

“Pembinaan berkemungkinan dimulakan tahun depan selepas semua proses atau persediaan awal diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata demikian selepas Program Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M di Dewan Serbaguna Kampung Tambirat, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini juga sudah menyatakan bahawa mereka sudah mengenal pasti tapak untuk dibina velodrom itu dan akan membinanya selepas semua urusan awal selesai.

“Velodrom bukan seperti stadium biasa untuk acara larian. Ia sangat khusus dan memerlukan perincian yang tinggi. Dari segi sudut kecondongan pun, ia tidak boleh terlalu tinggi kerana ada standard yang perlu dipatuhi,” tegasnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kejayaan Sarawak meraih tiga pingat emas dalam acara lumba basikal pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 di Selangor baru-baru ini, katanya kemenangan itu menjadi petunjuk jelas keperluan negeri ini untuk memiliki velodrom.

Katanya, sepanjang kira-kira 40 tahun penyertaan Sarawak dalam SUKMA, kontinjen negeri ini tidak pernah meraih pingat emas dalam acara berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Karim juga menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan pencapaian kontinjen Sarawak yang menduduki tempat keempat keseluruhan dengan kutipan 41 pingat emas.