KUCHING: Program AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 berpotensi diperluaskan membabitkan peruntukan lebih besar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah tersebut bagi memperkukuhkan pembangunan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
Tambahnya, laporan pelaksanaan program akan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk maklum balas peserta khususnya pelajar dan golongan muda.
“Maklum balas ini penting bagi memastikan keperluan peserta diberi perhatian dalam perancangan program akan datang.
“Ini termasuk penyediaan komputer riba berprestasi tinggi dan perisian AI berbayar,” katanya semasa menyempurnakan penutupan program AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.
Beliau berkata, kemudahan serta infrastruktur digital juga perlu diperluaskan ke sekolah rendah dan menengah, terutama di luar bandar, bagi memupuk minat terhadap teknologi sejak usia muda.
“Program ini membuktikan minat generasi muda terhadap AI dan teknologi digital semakin berkembang.
“Ini sekali gus membuka ruang untuk Sarawak melahirkan lebih ramai pencipta dan usahawan digital,” katanya.
Beliau turut menegaskan pembangunan teknologi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan budaya, bahasa dan perpaduan masyarakat Sarawak.
Ibu bapa juga katanya, digesa menyokong anak-anak yang berminat dalam bidang AI.
Sementara itu, dalam ucapan aluan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang berkata, beliau merakam ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program kali ini.
“Terima kasih kepada SAIC, GIGVENTURE, PEKA, Politeknik Kuching Sarawak, WRNA atas sokongan menjayakan program ini.
“Program dua hari ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak idea, kerjasama dan peluang baharu dalam usaha membina masa depan Sarawak yang lebih baik,” katanya.
