Pengukuran sempadan Malaysia-Brunei disasar selesai 2034.

LAWAS: Sempadan Malaysia dan Brunei selesai diukur dan ditanda bersama-sama sebanyak 50 peratus setakat ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, baki sempadan yang belum diukur disasarkan untuk diselesaikan pada tahun 2034.

Manakala, bagi pertindihan sempadan itu yang melibatkan jarak lebih kurang enam kilometer (km), beliau berkata kedua-dua negara bersetuju diselesaikan kerja pengukurannya pada Mei 2027.

“Saya penuh yakin ia akan dapat dicapai berdasarkan kepada kajian yang dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Berambeh ke Lawas bertemakan “LCDA Bersama Komuniti” sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, bagi pertindihan itu, Kerajaan Malaysia dan Brunei bersetuju melaksanakan penentuan sempadan mengikut prinsip garisan legeh, fakta sejarah serta siasatan pendudukan sebenar di lapangan.