18 Kompleks Sukan Mini giat dibangun seluruh Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan 18 Kompleks Sukan Mini di setiap daerah yang dijangka menjadi asas dalam pembangunan sukan dan pencarian bakat baharu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beberapa kompleks sudah siap dibina dan ada yang masih dalam proses pembinaan.

Jelasnya, setiap kompleks sukan ini dianggarkan berharga antara RM15 juta hingga RM20 juta, yang akan dapat menampung kira-kira empat hingga lima jenis sukan.

“Atlet yang menunjukkan potensi luar biasa akan dibawa ke Kuching untuk menjalani latihan pusat di Perkampungan Sukan, sebuah fasiliti khusus yang sedang dibangun untuk mempersiapkan mereka mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

“Dengan pelaburan jangka panjang ini, kita berharap dapat menjadikan Sarawak sebagai pusat sukan yang berdaya saing di Malaysia, melahirkan atlet-atlet muda yang dapat mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi SSC 2025, di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Majlis tersebut turut menyaksikan 45 kakitangan SSC menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 22 menerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2024, termasuk sumbangan penghargaan kepada 11 pesara yang telah menyumbang jasa dan bakti sepanjang perkhidmatan mereka di SSC.