LIMBANG: Kerajaan Sarawak bersetuju memperuntukkan sejumlah RM9.2 juta elaun tambahan kepada guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) di negeri ini tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, seramai 2,579 guru kafa bakal menikmati elaun berkenaan di negeri ini.
“Ini bermaksud setiap guru KAFA akan menerima elaun tambahan sebanyak RM300 sebulan mulai tahun depan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada Majlis Apresiasi KAFA Bahagian Limbang 2023 di Dewan Suarah Limbang, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, inisiatif ini antara komitmen kerajaan sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan guru-guru KAFA di Sarawak.
Hadir sama Timbalan Pengarah Dua, Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine, Timbalan Pegawai Daerah Limbang, Hamidah Halpi, Wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Ustaz Mohd Fadhillah Junaidi dan Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa KAFA Peringkat Bahagian Limbang, Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely.
