KUCHING: Kerajaan Persekutuan berhasrat menukarkan terminologi Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Orang Kelainan Upaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kementeriannya akan mendapatkan kebenaran daripada organisasi antarabangsa untuk menukarkan terminologi tersebut.
“Tidak dinafikan ada dalam kalangan golongan ini sebenarnya bukan kurang upaya, tetapi kelainan upaya dengan memiliki kebijaksanaan masing-masing.
“Banyak permohonan daripada mereka yang terlibat dalam industri ini supaya terminologi ini boleh diubah kepada kelainan upaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Perasmian Seminar Pendidikan Khas Nasional anjuran Persatuan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan Malaysia (NAECCEM) di Damai Lagoon Resort, Santubong, di sini hari ini.
Katanya, Malaysia hanya mengikut istilah yang ditetapkan secara antarabangsa.
Justeru, Malaysia tidak dapat mengubah istilah tersebut serta-merta.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata berdasarkan statistik Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), seramai 93,951 kanak-kanak yang berdaftar pada 2020 dan meningkat seramai 107,020 setakat 31 Januari 2023.
“Bagaimanapun, mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya seramai 7,582 yang berdaftar. Ini sangat membimbangkan.
“Sekiranya kanak-kanak ini tidak diberikan intervensi awal, mereka akan menghadapi berbagai kesulitan apabila melangkah ke alam persekolahan nanti.
“Lima tahun awal umur kanak-kanak adalah masa yang sangat kritikal untuk dipupuk nilai-nilai murni, pengetahuan dan kemahiran asas.
“Justeru, pihak JKM di bawah Kementerian Perpaduan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan 11 Taska Kanak-Kanak OKU dan dalam perancangan untuk membangunkan lebih banyak lagi,” katanya.
