KUCHING: Sarawak bersedia berkongsi pengalaman dengan mempelawa institusi pendidikan global, penyelidik dan pemain industri untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan matlamat pembangunan hijau dan teknologi tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak yang komited mensejahterakan rakyat, melabur RM5.87 bilion untuk meningkatkan sistem bekalan air, grid bekalan air dan sistem alternatif bekalan air (SAWAS) di luar bandar.
Selain itu Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1.1 bilion untuk mengganti paip uzur sepanjang 2,700 kilometer (km) dan meningkatkan kestabilan bekalan, katanya merasmikan Persidangan Kejuruteraan Antarabangsa UNIMAS (EnCon) 2026 di sini.
Beliau berkata, rancangan besar-besaran itu memerlukan penglibatan kepakaran tempatan dan menambah Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan UNIMAS dengan para penyelidiknya giat membantu membangun infrastruktur menangani banjir, benteng penahan hakisan dan menyedia bekalan air bersih untuk penduduk luar bandar.
Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak juga memerlukan kepakaran dalam menyiapkan infrastruktur untuk meningkatkan kesalinghubungan rakyat yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Kepakaran itu, katanya diperlukan dalam membina infrastruktur dalam keadaan persekitaran yang unik dan cabaran kejuruteraan terutama di atas tanah gambut.
Untuk mengatasi cabaran tanah gambut secara lestari, katanya, beliau menyokong pembinaan jalan raya bertiang di kawasan berkenaan.
Sungguhpun harganya mahal, katanya, ialah lebih murah untuk diselenggarakan dalam jangka masa panjang.
Dengan kerjasama pakar tempatan termasuk penyelidik dari UNIMAS, katanya, infrastruktur yang dibina adalah lebih selamat dan mampan kerana mereka lebih memahami keadaan untuk jangka masa panjang.
Sarawak yang berhasrat menjadi kuasa tenaga bersih di peringkat wilayah, tambahnya, turut menerokai bidang baharu seperti potovoltik solar terapung dan turbin angin.
Membangunkan tenaga diperbaharui itu memerlukan kemajuan kejuruteraan bagi menjamin daya tahan dan kukuh, tegas beliau.
Justeru, katanya, Kerajaan Sarawak melancarkan program melanjut pengajian secara percuma untuk anak- anak Sarawak di univerisit tempatan bagi melahir tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan pada masa akan datang.
Matlamat Kerajaan Sarawak adalah jelas untuk mentransformasi negeri ini menjadi sebuah wilayah maju dan melahir pakar tempatan yang sedia bersaing di peringkat global, tegas beliau.
