Jelajah Kesihatan Borneo Sarawak fokus tingkatkan fasiliti, perkhidmatan Mukah

MUKAH: Jelajah Kesihatan Borneo Sarawak (Siri 2) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh fasiliti serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar, khususnya di bahagian ini.

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib meneruskan siri lawatan tersebut dengan meninjau sendiri keadaan sebenar perkhidmatan kesihatan di lapangan.

Lawatan diadakan hari ini dimulakan di Klinik Komuniti Mukah bagi melihat operasi harian serta tahap perkhidmatan kepada penduduk.

Rombongan kemudian menghadiri sesi taklimat di Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah yang membentangkan situasi semasa termasuk cabaran dan keperluan di kawasan berkenaan.

Seterusnya, lawatan diteruskan ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Mukah untuk menilai kemudahan serta perkhidmatan kepada ibu dan kanak-kanak, sebelum ke Klinik Pergigian Mukah bagi meninjau perkhidmatan kesihatan oral komuniti.

Unit Kecemasan Hospital Mukah menjadi lokasi terakhir lawatan, yang memainkan peranan penting dalam pengurusan kes-kes kritikal.

Sepanjang jelajah, tumpuan turut diberikan kepada isu kekurangan tenaga kerja serta keperluan sokongan operasi, termasuk peranan pemandu kenderaan hospital dalam memastikan kelancaran pergerakan pesakit dan urusan kecemasan.

Selain itu, keperluan memperkukuh perkhidmatan sokongan klinikal turut disentuh bagi memastikan rawatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diberikan kepada rakyat.

Hanifah menegaskan semua pihak perlu bertindak segera dan lebih proaktif dalam menangani setiap isu yang dikenalpasti demi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berada di tahap yang baik.