Prototaip loji ‘waste-to-energy’ jana kuasa elektrik dari sisa buangan

KUCHING: Sarawak Waste Management Sdn Bhd berjaya bangunkan prototaip loji ‘waste-to-energy’ yang berupaya menjana sehingga 5 kilowatt (kW) tenaga elektrik daripada sisa pepejal.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini membuktikan potensi besar sisa sebagai sumber ekonomi baharu kerana Sarawak kini berdepan penghasilan kira-kira 700 tan sisa pepejal setiap hari dan dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan populasi.

Katanya prototaip itu mengekstrak gas daripada sisa buangan, kemudian menukarkannya kepada hidrogen dan melalui hidrogen tersebut, tenaga elektrik dapat dihasilkan.

“Loji mampu menjana kira-kira 5 kW tenaga daripada 700 tan sisa, bekalan tenaga boleh ditingkatkan. Pada masa yang sama, udara turut dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan rasmi dan raklimat mengenai Prototaip Kogenerasi Gas kepada Tenaga, di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP) Mambong, di sini, hari ini.

Katanya, Sarawak mengambil inspirasi daripada negara Scandinavia seperti Finland yang terbukti berjaya mengurus sisa secara efisien dan bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah kepada Sarawak secara keseluruhan.

“Seterusnya, kita dapat menjadi sebuah wilayah yang benar-benar bersih dan mesra alam di Malaysia,” jelas beliau.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Waste Management Sdn Bhd Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Waste Management Sdn Bhd Stephen Chin.