Pelajar sekolah sertai pertandingan aplikasi guna roket

KUCHING: Sebanyak sembilan pasukan dari sekolah seluruh Sarawak menyertai pertandingan Sarawak Rocketeer CAN-SAT Challenge (SRC) 2026 yang dirasmikan di Politeknik Kuching, di sini, hari ini.

Ini program pertama di Sarawak yang mengaplikasikan penggunaan roket sebenar bersama teknologi Can-Sat dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan pengalaman praktikal untuk pelajar sekolah.

Setiap pasukan terdiri dari empat pelajar dan seorang guru mentor dengan pasukan terbaik SRC 2026 akan mewakili Sarawak ke Malaysia Rocket Can-Sat Competition (MRCC) 2026 dan berpeluang melangkah ke platform antarabangsa seperti Spaceport America Cup.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar memahami konsep satelit dan teknologi roket secara lebih dekat.

“Ini sekali gus mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam bentuk inovasi praktikal,” katanya pada majlis perasmian SRC 2026 di Politeknik Kuching di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdullah menggalakkan pelajar agar terus memanfaatkan peluang yang disediakan serta berani meneroka bidang STEM sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.