SIPR 2026 tarik 251 penyertaan, cipta rekod baharu MBOR

SIBU: Penyertaan 251 bot laju Sibu International Powerboat Race (SIPR) 2026 melayakkannya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan terbanyak dalam satu acara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu amat membanggakan dan wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkasakan penganjuran acara berkenaan pada masa hadapan.

“Syabas dan tahniah kepada semua. Penyertaan kali ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi cabaran baharu kepada jawatankuasa penganjur untuk meningkatkan prestasi penganjuran pada tahun depan,” katanya menyempurnakan majlis penangguhan SIPR 2026 di tebingan Pulau Li Hua, di sini, hari ini.

Fadillah turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjuran acara itu memandangkan potensinya dalam merancakkan pembangunan sukan air serta pelancongan di Sibu.

Katanya, usaha menghidupkan kembali Sungai Rajang sebagai lokasi utama aktiviti sukan air perlu diteruskan memandangkan ia pernah menjadi antara tarikan utama di bandar itu suatu ketika dahulu.

“Perlumbaan bot laju adalah antara aktiviti utama di Sibu selain regata, dan ini perlu dijadikan acara tahunan yang mendapat sokongan berterusan,” ujarnya lagi.

Beliau juga mencadangkan penambahbaikan kemudahan di kawasan tebingan Pulau Li Hua melalui kerjasama antara kerajaan dan pihak pemaju, termasuk pembinaan pontun serta pentas bagi memudahkan penganjuran acara pada masa depan.

Tambahnya, usaha berterusan itu penting bagi meletakkan Sibu kembali di peta sukan bot laju bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat rantau Asia.

Turut hadir ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Roland Duat Jubin, ADUN Ngemah, Anyi Jana dan Residen Bahagian Sibu merangkap Pengerusi Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG Sibu), Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.