Kompleks UNIFOR platform satukan rumah ibadat melalui interaksi, berdialog

KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNFOR) UNIFOR menjadi bukti model tadbir urus Sarawak yang unik sekali gus mengutamakan keharmonian, toleransi dan kemakmuran bersama.

UNIFOR dibina di atas tanah seluas 3.19 ekar (lebih satu hektar) yang dianugerahkan Kerajaan Sarawak dan terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari pusat bandar ini.

Pembinaan itu membabitkan kos sekitar RM80 juta, dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Jalan Ong Tiang Swee.

Dalam ucapan beliau, Abang Johari kompleks tersebut menggambarkan komitmen kepimpinan negeri dalam mengekalkan keharmonian penganut agama-agama lain di Sarawak dan bersama bergerak menggunakan pengetahuan terkini untuk mengubah masa depan negeri ini.

“Kita telah mengeluarkan anggaran RM685 juta sehingga hari ini dengan RM560 juta disalurkan kepada 100 rumah ibadat agama-agama lain.

“Manakala, kira-kira RM120 juta lagi disalurkan bagi membantu pembangunan sekolah-sekolah mubaligh,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, kompleks tersebut merupakan bukti jelas komitmen kerajaan terhadap keterangkuman, saling menghormati serta pembangunan saksama semua agama di Sarawak.

Sejak penubuhannya, UNIFOR berkembang menjadi satu inisiatif unggul yang bukan sahaja memperkukuh keharmonian antara agama, malah mencerminkan aspirasi kita terhadap perpaduan dalam kepelbagaian, katanya.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kompleks ini akan menjadi platform untuk rumah-rumah ibadat berinteraksi, mengadakan dialog serta memperkukuh persefahaman dan hubungan antara komuniti.

Katanya, Kompleks UNIFOR merangkumi menara pejabat sembilan tingkat, taman atas bumbung; dewan bankuet berkapasiti 1,000 orang; sembilan lot perniagaan; dan 286 petak parkir termasuk dua pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh SEDC Energy.

Uggah berkata, seni bina Kompleks UNIFOR ini menampilkan konsep perpaduan melalui reka bentuk luaran moden “One Wrap” dan susun atur dalaman yang harmoni, melambangkan motif bintang berulang sebagai refleksi kepelbagaian masyarakat Sarawak.

“Terima kasih kepada Premier atas peruntukan tanah seluas 3.19 ekar di lokasi strategik Unity Lane bersama institusi lain,” tambahnya.

Katanya, kompleks ini diurus oleh Lembaga Amanah Kebajikan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain Sarawak (SUCT) dan antara fungsi utama SUCT ialah mengurus sumbangan dan dana; menyokong pembangunan institusi bukan Islam; memberi bantuan pendidikan, membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial serta menggalakkan aktiviti ekonomi komuniti.