LIMBANG: Inisiatif memperkasa pembangunan belia diberi perhatian sebagai usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Program SAMAsedia Siri 1 anjuran Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) menyasarkan golongan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun dengan memberi pendedahan awal kepada pelbagai peluang pembangunan diri dan kerjaya.
Menurut beliau, komitmen YBMS sebagai badan yang prihatin jelas diterjemahkan melalui pelaksanaan program tersebut yang bukan sahaja menjaga kebajikan golongan Melayu di Sarawak, malah membuka ruang lebih luas kepada penyertaan aktif dalam program pembangunan.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada pelbagai peluang dan pendedahan berkaitan kerjaya serta pembangunan diri,” katanya selepas menyempurnakan Penangguhan Program SAMAsedia Siri 1 2026 Limbang di Dewan Suarah Limbang di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, sambutan amat menggalakkan apabila seramai 45 peserta menyertai program berkenaan, melebihi sasaran asal seramai 40 orang bagi program yang berlangsung selama tiga hari dua malam.
Jelasnya, ini membuktikan golongan belia di Limbang sentiasa menunjukkan minat dan komitmen tinggi terhadap program yang dianjurkan serta kesediaan mereka untuk terlibat secara aktif.
“Program seumpama itu wajar diperluaskan ke kawasan lain bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang membangunkan potensi diri secara menyeluruh,” ujarnya.
