Larian Kaul Mukah tarik lebih 600 peserta

MUKAH: Larian Kaul Mukah (KMR) 2026 berlangsung meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 640 peserta di Tapak Pesta Kaul, di sini, hari ini.

Program itu diadakan sempena sambutan Kaul Mukah dan menampilkan kategori larian 10 kilometer (km), 5km serta jalan santai 3km.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran acara seumpama itu mampu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan komuniti.

“Program tersebut berpotensi menarik penyertaan dari luar daerah dan luar negara,” katanya pada majlis penutupan Kaul Mukah Run (KMR) 2026, di sini, hari ini.

Beliau turut menyempurnakan pelepasan semua peserta seawal jam 7 pagi. Acara kali ini lebih bermakna apabila turut disertai seorang peserta dari Pontianak, sekali gus menyerlahkan daya tarikan Kaul Mukah Run di peringkat serantau.

Bagi kategori 10km lelaki terbuka, Mohd Faris Syami muncul juara, manakala kategori wanita terbuka dimenangi Yunizer Suhaili. Lau Seng Fung dan Esmeralda pula masing-masing menjuarai kategori 5km lelaki serta wanita.

Sementara itu, Mohd Sharif Mohd Ekbar menjuarai kategori 10km lelaki senior, manakala Lim Set Hiang muncul pemenang bagi kategori wanita senior.

Abdul Yakub turut menyampaikan hadiah kepada pemenang serta menyertai sesi cabutan bertuah bagi memeriahkan program berkenaan.