KUCHING: Pemergian seorang jurufoto berpengalaman Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Muhamad Razali Nordin, 54, disifatkan satu kehilangan besar buat agensi media di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyifatkan Allahyarham Razali merupakan seorang jurufoto yang sangat disenangi biarpun beliau bukan berasal dari Sarawak.
“Allahyarham telah lama berkhidmat di Sarawak.
“Sebagai warga kerja wartawan khidmat bakti beliau dalam skop penyampaian berita dan peristiwa antara masyarakat dan kerajaan, saya rasa itu sangat dihargai,” katanya sebaik selesai menziarahi jenazah dan ahli keluarga allahyarham Razali di Masjid At Taqwa Kampung Pinang Jawa , hari ini.
Dalam masa sama, Abdullah turut menggesa pengamal media yang lain turut menjaga kesihatan dan sentiasa mengambil tahu kebajikan rakan media yang memerlukan terutama membabitkan kesihatan diri.
Jenazah Razali selamat dikebumikan jam 11.35 pagi di Tanah Pekuburan Islam Samariang, Kuching selepas solat jenazah.
Hadir sama semasa pengkebumian ialah ahli keluarga allahyarham dari Perak, Kuching dan rakan- rakan media lain.
