BINTULU: Sejumlah 422 atlet berkeperluan khas menyertai temasya Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Malaysia Keenam Sarawak, di sini mulai 24 hingga 26 April.
Mereka terdiri dari 11 kontinjen dari seluruh negara ini dan atlet terbabit juga disertai seramai 67 unified partners dan 219 delegasi dari jurulatih, pegawai kontinjen serta sukarelawan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan temasya itu di Dewan Suarah Bintulu, di sini, malam tadi.
Dalam ucapan, beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memastikan golongan berkeperluan khas diberi keutamaan menikmati pembangunan menerusi pendekatan inklusif.
Beliau berkata, pembangunan sebenar tidak boleh hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan fizikal, sebaliknya merangkumi keupayaan setiap rakyat termasuk orang kelainan upaya (OKU) untuk maju, menyumbang serta menikmati hasil pembangunan negeri.
“Usaha memperkasa golongan ini perlu diperkukuh melalui pembangunan bakat, pembinaan keyakinan diri, penglibatan sosial serta penyediaan peluang yang saksama kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata “Bravery Medal” diperkenalkan untuk dianugerah kepada semua atlet yang mengambil bahagian.
Katanya, medal ini sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan keberanian mereka menyertai temasya tanpa mengira keputusan pertandingan selaras semangat Special Olympics (SO).
“Setiap atlet yang mengambil bahagian adalah wira dan wajar diraikan,” katanya.
