MIRI: Pembangunan Pelabuhan Miri yang berkonsepkan “mini Shanghai” menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan berpotensi menjadi gerbang kemasukan ekonomi baharu di utara Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kemajuan fizikal pelabuhan itu semakin ketara dan dijangka melakar pencapaian signifikan sebelum musim monsun tahun ini.
“Daripada pemerhatian kita, kemajuan pelabuhan ini sangat positif dan saya percaya sebelum musim monsun, kita akan capai tahap pembangunan yang signifikan.
“Kita akan lihat tanah baharu terbentuk dan berkembang dari masa ke masa. Inilah konsep yang kita sebut sebagai ‘mini Shanghai’ di Miri,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke tapak Projek Pengerukan di pelabuhan di Kuala Baram Miri hari ini.
Menurut beliau, pembangunan struktur North Bank dan South Bank akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedalaman laut sehingga 10 meter apabila jajaran mencecah sekitar 8 hingga 10 kilometer.
“Apabila North Bank dan South Bank siap, kedalaman boleh mencecah 10 meter yang mencukupi untuk kapal besar termasuk kapal pesiaran,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan benteng tersebut turut mengurangkan impak ombak serta mewujudkan kawasan pesisir baharu melalui proses pemendapan semula jadi.
Beliau menjelaskan lagi, kawasan tanah baharu itu berpotensi menjadi hab pembangunan industri dan komersial, sekali gus menarik pelaburan serta merangsang ekonomi tempatan.
Selain itu, pelabuhan berkenaan dijangka menjadi pintu keluar utama bagi kawasan pedalaman (hinterland) utara Sarawak, sekali gus melengkapi peranan Bintulu sebagai hab eksport sedia ada.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pembangunan pelabuhan tersebut turut membuka peluang kepada industri pembinaan kapal dan limbungan tempatan.
“Dengan fasiliti lebih tersusun, kita boleh tingkatkan kualiti pembinaan kapal dan mengembangkan pasaran eksport, termasuk ke Timur Tengah dan Australia,” katanya.
Tambahnya lagi, projek tersebut juga akan menyokong industri minyak dan gas di Sarawak melalui penyediaan kemudahan sokongan logistik dan perkhidmatan berkaitan.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri serta ketua-Ketua jabatan.
