MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju mengambil alih semua jalan balak sejauh 2,700 kilometer (km) di kawasan Baram.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini bagi menaik taraf jalan tersebut bagi kegunaan masyarakat.
“Semua jalan tersebut akan dinaik taraf menjadi jalan biasa dan boleh digunakan secara percuma oleh masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri di Stadium Miri di sini, hari ini.
Di samping itu Abang Johari berkata, projek Projek Jalan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) serta Long Panai-Long Lama (3M2L) akan menjadi ‘game-changer’ dalam merancakkan pembangunan di kawasan Mulu khasnya di Baram.
Menurut beliau, penyediaan jaringan jalan serta kemudahan utiliti yang lengkap sangat penting mengambil kira status kawasan tersebut yang diiktiraf sebagai Taman Negara UNESCO.
“Mulu akan kita bangunkan dengan prasarana pusat bandar yang dapat mentadbir kawasan berkenaan dan sekitarnya dengan infrastruktur pentadbiran dan dapat melonjakkan kegiatan ekonomi,” katanya.
Jelas Premier lagi, selain merancakkan sektor pelancongan, projek jalan itu juga akan membuka peluang dalam sektor pertanian di kawasan Baram.
Menurutnya, kajian menggunakan teknologi terkini akan dilaksanakan bagi mengkaji potensi Baram sebagai pusat penanaman kopi.
Pada masa sama, Abang Johari berkata kerajaan juga akan membangunkan kawasan Beraya di sini antaranya dengan pembinaan pusat komersial, Pusat Konvensyen Miri.
Katanya, ini termasuk sekolah antarabangsa yang tempatnya sudah dikenalpasi dan akan dibangunkan tahun hadapan.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri dan Timbalan Menteri.
