MIRI: Pendekatan turun padang mendekati rakyat terus menjadi rutin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Di Miri, beliau tidak melepaskan peluang menyertai program berjalan santai (brisk walk) sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri 2026 di Taman Bulatan Miri pada pagi ini.
Orang ramai lmembanjiri lokasi program seawal jam 6 pagi bagi bersama-sama menyertai aktiviti gaya hidup sihat tersebut, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik yang turut disertai Premier Sarawak, memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam menggalakkan kesejahteraan fizikal serta gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Suasana santai namun semangat jelas dirasai apabila beliau bersama barisan pemimpin negeri dan peserta lain meneruskan aktiviti ‘brisk walk’ mengelilingi taman berkenaan.
Lebih bermakna, kesempatan itu turut dimanfaatkan Premier Sarawak untuk berinteraksi secara mesra dengan orang ramai, sekali gus memperkukuh hubungan erat serta semangat kekitaan yang menjadi tunjang kepada inisiatif Sarawakku Sayang.
Usai program, beliau dijadual menghadiri majlis perasmian Program SKS Bahagian Miri 2026 yang berlangsung di Stadium Miri.
Hadir sama memeriahkan program ‘brisk walk’ itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Miri Galong Luang dan ketua-ketua jabatan.
