Kaul Seraheng Kakan angkat Mukah ke peringkat antarabangsa

MUKAH: Upacara tradisi Kaul Seraheng Kakan masyarakat Melanau akan terus dipromosi sebagai produk pelancongan budaya berimpak tinggi di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berikutan itu menegaskan, komitmen berterusan dalam mempromosikan acara seperti ini yang bukan sekadar upacara tradisi, malah merupakan lambang perpaduan dan identiti masyarakat Melanau yang wajar dipelihara.

“Acara ini sebagai produk pelancongan berimpak tinggi yang mampu mengangkat nama Mukah ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kaul Seraheng Kakan 2026 yang menandakan pembukaan rasmi Pesta Kaul, di sini, hari ini.

Mengulas potensi memperluaskan tarikan upacara itu ke peringkat antarabangsa, Hanifah berkata usaha ke arah itu akan diperkasakan secara berperingkat dengan mengambil kira faktor semasa termasuk keadaan geopolitik dan kos perjalanan yang semakin meningkat.

“Kita memang berhasrat untuk memperkasakan lagi dari segi tarikan antarabangsa, namun perlu melihat kepada keadaan semasa seperti kos tambang dan faktor global agar tidak membebankan dari segi kewangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat beberapa kekangan yang dihadapi, antaranya keadaan kawasan pesisir pantai yang semakin cetek, sekali gus memberi cabaran kepada penyediaan kemudahan seperti pontun.

Namun begitu, katanya usaha penambahbaikan terus dilaksanakan khususnya dari segi kemudahan di tapak utama ritual tanpa menjejaskan keaslian adat tradisi.

“Kita perlu berhati-hati supaya sebarang penambahbaikan tidak mengkompromikan keaslian budaya. Jika tidak dipelihara, kita bimbang keunikan tradisi ini akan semakin terhakis,” tegasnya.

Mengulas cadangan untuk menggabungkan Kaul Seraheng Kakan dengan acara Pesta Kaul, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut pernah dilaksanakan sebelum ini, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian tarikh berdasarkan nasihat Bapa Kaul.

Katanya, aspek tradisi perlu diutamakan kerana penentuan hari bagi ritual tidak semestinya selari dengan jadual acara besar yang melibatkan penyertaan luar.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine serta ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.