CCGT Miri pemangkin peralihan tenaga Sarawak, catat perkembangan positif

MIRI: Projek loji Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) Miri milik Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencapai 45 peratus kemajuan setakat Mac 2026, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai kira-kira RM2 bilion itu merupakan antara komponen utama dalam Sarawak Gas Roadmap (SGR) dan dijangka menjana kapasiti sehingga 500 megawatt (MW) bagi memperkukuh bekalan elektrik negeri.

‘’Projek berkenaan penting dalam memastikan sistem tenaga negeri lebih stabil, cekap dan mampan, selaras dengan peningkatan permintaan serta agenda peralihan tenaga bersih,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan kerja ke tapak projek CCGT Miri hari ini, yang turut disertai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki serta Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Jafri Lias, hari ini.

Lawatan tersebut dihoskan oleh PETROS yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato Janin Girie dan Naib Presiden Projek Modal, Kidd Enau.

Dalam pada itu, PETROS turut memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, dengan lebih 36 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja kontraktor terdiri daripada rakyat Sarawak.

Selain itu, lebih 30 kakitangan PETROS yang ditempatkan di projek berkenaan juga merupakan anak Sarawak, manakala lebih 20 jurutera muda dan 88 juruteknik kini menjalani latihan di tempat kerja (OJT) bagi meningkatkan kemahiran teknikal serta kesiapsiagaan industri.

Lawatan tersebut turut merangkumi taklimat kemajuan projek, pencapaian utama serta lawatan ke beberapa kawasan kerja di tapak pembinaan.