Operasi SAR wanita Australia hilang Gunung Santubong ditamat

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita warga Australia berusia 46 tahun yang dilaporkan hilang di gunung Santubong malam tadi ditamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alaxson Naga Chabu berkata, mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan selamat dan dibawa turun ke pusat kawalan operasi sekitar jam 235 petang tadi.

“Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

“Seramai 81 anggota SAR terdiri daripada PDRM, BOMBA, ATM, SFC dan orang awam terlibat dalam operasi ini,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai SAR di pusat kawalan operasi di kawasan kaki gunung Santubong di Jalan Santubong, hari ini.

Terdahulu, mangsa Belinda Lapier dilaporkan hilang ketika menuruni Gunung Santubong di sini jam 8.55 malam tadi oleh pihak renjer SFC selepas tidak mendaftar keluar di kaunter pendaftaran Taman Negara Santubong.

Mangsa berjaya dihubungi dan memberi lokasi terkini kepada pasukan SAR dan mereka mengalami kesukaran membawa mangsa turun kerana tempat mangsa dijumpai perlu melalui laluan sukar dan curam.

Selepas beberapa jam berusaha dan mencari, mangsa dan lokasi diberikan berjaya dijumpai oleh anggota SAR selepas mangsa dikhuatiri tersasar dari laluan dan terjatuh di kawasan gaung di antara kawasan F7 di gunung tersebut.