Enam projek RTP siap, kerajaan terus perkasa pembangunan luar bandar

KABONG: Sebanyak enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong siap sepenuhnya, membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM760,000.

Peruntukan itu disalurkan bagi meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk, selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Serah Projek Siap bagi beberapa projek RTP di sekitar kawasan DUN Kabong hari ini.

Program penyerahan itu melibatkan kawasan Ulu Roban, Gerigat, Nyabor, Alit, Kabong dan Tanjung Empiong.

Menurut beliau, lawatan ke lokasi projek merupakan sebahagian usaha memastikan setiap pembangunan dirancang berjalan lancar serta benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.

Antara projek siap ialah naik taraf Dewan Terbuka Rumah Nyandang di Ulu Roban bernilai RM100,000 serta naik taraf Masjid Ar-Rahim bernilai RM150,000.

Turut diserah ialah pembinaan baharu pangkalan bot nelayan di Sungai Peruntung, Nyabor bernilai RM250,000 yang memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan setempat.

Dua lagi projek melibatkan naik taraf Masjid Lama Kampung Alit Kabong serta Surau An-Nur Rahman Metang Disa, masing-masing bernilai RM100,000.

Selain itu, naik taraf Rumah Serbaguna Skim Kelapa Tanjung Empiong bernilai RM60,000 turut meningkatkan keselesaan penduduk, sekali gus membuktikan usaha konsisten kerajaan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.