Sektor pertanian sumbang RM15.1 bilion KDNK Sarawak

LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus
mentransformasikan sektor pertanian agar lebih berdaya saing dan berorientasikan teknologi moden yang menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada 2024.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, transformasi ini bukan sekadar satu keperluan, malah merupakan peluang untuk mengangkat potensi Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan demi menjamin keterjaminan makanan pada masa hadapan.

“Sektor pertanian merupakan antara penjana ekonomi utama bagi pertumbuhan mampan dan inklusif,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada perasmian Sarawak Agrofest Limbang 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan misi ini, rakyat perlu memanfaatkan teknologi, analitik data, dan penyelidikan saintifik (R&D) untuk mengoptimumkan hasil, mengurangkan pembaziran, dan meningkatkan kelestarian.

Kementeriannya telah menetapkan keterjaminan makanan dan pengindustrian agromakanan sebagai keutamaan strategik di bawah RMK-13, tegas beliau.

Pendekatan ini katanya dipacu melalui inisiatif utama seperti pertanian pintar pembangunan zon pengeluaran agromakanan bersepadu, serta pengukuhan rantaian nilai antara peladang dan pasaran.

“Langkah proaktif ini bertujuan memastikan transformasi pertanian Sarawak dipacu oleh teknologi bagi mencapai matlamat utama iaitu kerterjaminan dan keselamatan makanan, menjana pendapatan bagi komuniti tani, dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030,” ujarnya lagi.

Katanya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, sektor ini menyokong ekosistem rantaian bekalan yang komprehensif bermula daripada pengeluaran di ladang, perkhidmatan logistik, pemprosesan hiliran, hinggalah kepada aktiviti pemborongan dan eksport.

Pada 2024, tambahnya, sektor pertanian selain menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada KDNK Sarawak turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 247,000 orang.

Menurut Dr. Rundi, kelapa sawit kekal sebagai penyumbang terbesar dan merupakan komoditi eksport kedua utama Sarawak dengan nilai sebanyak RM16.3 bilion pada 2024.