180 penjawat awam Miri terima Pingat Perkhidmatan Setia

MIRI: Seramai 180 penjawat awam daripada 16 jabatan dan agensi menerima Pingat Perkhidmatan Setia dalam majlis yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Mega Miri di sini, hari ini.

Majlis tersebut merupakan penganjuran kali ketiga bagi tahun 2026, melibatkan penerima daripada 11 jabatan Kerajaan Negeri dan lima agensi Persekutuan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti mereka.

Antara yang tersenarai sebagai penerima berkhidmat lebih 39 tahun termasuk Richard Jabon dari Jabatan Hutan Sarawak (39 tahun), Lee Bu Chong (40 tahun), Kalanah Bagol (40 tahun), Felix Druce (40 tahun) serta Nilan Taygng (41 tahun), masing-masing daripada Majlis Bandaraya Miri.

Selain itu, senarai penerima turut melibatkan wakil daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak serta Jabatan Pertanian Sarawak.

Turut tersenarai ialah penerima daripada Majlis Perbandaran dan Daerah di Bahagian Miri, Lembaga Pelabuhan Miri, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Majlis tersebut mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan kesetiaan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri secara berterusan.

Terdahulu, Premier Sarawak sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa Miri sejurus tiba dari Lapangan Terbang Miri sebelum menghadiri majlis berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak serta dif-dif kenamaan serta ketua-ketua jabatan yang lain.