MUKAH: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah naik ke kedudukan 40 dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi maktab itu seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, ini dengan mencatat Gred Purata Maktab (GPM) 2.370 dan naik sebanyak 10 tangga berbanding di kedudukan 50 dengan GPM 2.442 pada SPM 2024.
“Tahniah kepada Mohammad Ghaffari Hamdan Pengetua MRSM Mukah dan seluruh warga pendidik maktab yang telah memberikan komitmen luar biasa dalam mencapai kejayaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi Akademik Cemerlang & Pelancaran Program Kecemerlangan Akademik MRSM Mukah 2026 di maktab itu, di sini, hari ini.
Royston turut menyampaikan sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2025 berjumlah RM14,800 di bawah Program Biro Pendidikan Mukah melibatkan sembilan pelajar terbaik yang memperoleh 9A, lapan pelajar (8A) dan 17 pelajar (7A).
Turut hadir Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan Korporat) Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Faiz Shuib, YDP Badan Muafakat MRSM Mukah, Fadillah Wahi dan Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Mukah, Cr Shazwan Serun.
