MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa pemimpin peringkat akar umbi agar sentiasa peka dengan perubahan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri ini untuk disampaikan kepada rakyat.
Abang Johari berkata, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) khususnya harus memainkan peranan untuk menepiskan tohmahan atau berita palsu yang tular di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan salah faham rakyat.
Katanya, macam-macam fitnah keluar di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Pesuruhjaya Bangladesh jumpa saya, mereka datang ke sini hendak merapatkan kerjasama di antara Bangladesh dan Sarawak.
“Dan mereka kata, kami di Bangladesh boleh juga menghantarkan orang kalau dikehendaki. Tapi dalam media sosial kononnya Sarawak sudah minta 1,000 orang Bangladesh kerja dengan PETROS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Miri di Pullman Hotel Miri di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, hakikatnya perkara tersebut tidak dibincangkan, dan Jabatan Tenaga Buruh tidak mengeluarkan surat ‘pengambilan’ tersebut.
Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan pembinaan Pelabuhan Miri di Kuala Baram yang dijangka siap pada 2027 bakal memacu ekonomi bandar raya dengan pesat khasnya sektor pelancongan.
Selain meningkatkan ekonomi katanya, pelabuhan itu juga bakal menjadikan Miri sebagai hab persinggahan kapal persiaran khususnya dari Singapura.
Menurut beliau, pelabuhan tersebut akan dibina di laut dalam agar ia tidak dipengaruhi perubahan air yang ada di Kuala Baram.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan serta KMKK Bahagian Miri.
Sementara itu, Premier dijadual merasmikan program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Miri pagi esok yang padat dengan pelbagai pengisian berkonsepkan rakyat.
