Peruntukan projek MRP fasa pertama DUN Kemena berjumlah RM500,000

BINTULU: Projek Kecil Luar Bandar (MRP) membabitkan peruntukan sebanyak RM1.9 juta dipohon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata permohonan terbabit dijangka disalurkan secara berperingkat mengikut kelulusan semasa.

“Penyaluran fasa pertama melibatkan jumlah melebihi RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan fasa pertama geran peruntukan MRP DUN Kemena bagi Tahun 2026 kepada 32 penerima di bilik mesyuarat Jabatan Pertanian Bintulu, di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata, peruntukan MRP itu disalurkan bagi membantu persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta kelab-kelab bagi mengadakan aktiviti tahunan masing-masing.

Katanya, setiap permohonan perlu dinyatakan dengan jelas tujuan pelaksanaannya bagi memastikan peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara berkesan dan tidak tersasar daripada objektif asal.

“Bagaimanapun, keutamaan tetap diberikan kepada kawasan sendiri sebelum mempertimbangkan permohonan dari kawasan lain,” katanya.