Siap siaga hadapi impak geopolitik dunia, masyarakat diingat perkuatkan daya tahan

SIBU: Umat Islam, khususnya di Sarawak, diingatkan agar memperkuat daya tahan dan kesiapsiagaan dalam mendepani impak pergelutan geopolitik dunia yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, konflik global melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia serta pergolakan di Timur Tengah secara langsung memberi kesan kepada rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup domestik.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Darul Halim, Teku, di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 jemaah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.

Mengulas lanjut, Fadillah menekankan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui usaha memperluas penanaman padi dan sektor pertanian tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor logistik luar yang tidak menentu.

Selain aspek ekonomi, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menyentuh peranan institusi masjid yang perlu melangkaui fungsi tradisional sebagai tempat ibadah semata-mata.

Menurutnya, masjid harus berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dengan membawa masuk pakar-pakar motivasi dan pembelajaran bagi membantu anak-anak menguasai kemahiran tinggi untuk masa depan.