Sarawak Delta Geopark diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark

KUCHING: Sarawak Delta Geopark menerima sijil pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, baharu-baharu ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mengetuai delegasi Sarawak untuk menerima sijil berkenaan disampaikan Ketua Seksyen Sains Bumi dan Geopark UNESCO, Kristof Vandenberghe.

UNESCO Global Geopark merujuk kepada kawasan geografi tunggal yang mempunyai kepentingan geologi bertaraf antarabangsa, diurus secara menyeluruh melalui pendekatan perlindungan, pendidikan dan pembangunan lestari.

Manakala, Geopark Sarawak Delta meliputi keluasan keseluruhan 3,112 kilometer (km) persegi, merangkumi 2,685 km persegi kawasan darat dan 427 km persegi kawasan laut, meliputi Bahagian Kuching serta sebahagian kecil Bahagian Serian.

Kawasan geopark ini merangkumi ekosistem pelbagai seperti hutan paya bakau, paya gambut dan muara sungai yang menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna serta dihuni komuniti tempatan yang mengamalkan tradisi, budaya dan cara hidup berkait rapat dengan alam sekitar.

Dengan pengiktirafan ini, Sarawak dijangka mendapat manfaat peningkatan visibiliti di peringkat global dan memperluas peluang ekopelancongan, memperkukuh inisiatif berasaskan komuniti serta meningkatkan kesedaran pendidikan alam sekitar.

Pengiktirafan tersebut juga sejajar komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi utama ekonomi hijau dan ekopelancongan di Asia Tenggara.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi; Pengarah Hutan Sarawak, Datu Haji Hamden Mohammad; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick; Ketua Unit Geopark Jabatan Hutan Sarawak, Madeline George Pau; Ketua Bahagian Perhutanan dan Hidupan Liar Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Tessy Nimos; serta wakil Jabatan Hutan Sarawak, Lelawati Othman.