Sarawak giat laksanakan persiapan Sukan SEA 2027

KUCHING: Sarawak mempergiat persiapan sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 dengan pembinaan sebuah pusat media utama bertaraf antarabangsa yang dijangka siap sebelum temasya sukan berprestij itu berlangsung.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perincian mengenai jumlah pengamal media dari negara-negara ASEAN yang akan membuat liputan masih dalam penelitian dan perbincangan di peringkat jawatankuasa penganjur.

“Namun begitu, saya berharap kehadiran pengamal media dapat dimaksimumkan bagi memastikan liputan yang lebih meluas, menyeluruh dan berimpak tinggi sepanjang penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia, khususnya di Sarawak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Sukan Sarawak di Petra Jaya, di sini hari ini bagi meninjau kemajuan persediaan infrastruktur temasya berkenaan.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan pembinaan pusat media khas kini sedang giat dijalankan berhampiran Bangunan Baitul Makmur II.

Menurut beliau, walaupun tidak terletak dalam kawasan utama kompleks sukan, lokasi pusat media tersebut adalah strategik dan mudah diakses kerana berada dalam jarak yang dekat dengan venue-venue pertandingan utama.

Tambahnya, fasiliti berkenaan direka bagi menampung keperluan operasi media berskala besar, melibatkan pengamal media tempatan dan antarabangsa sepanjang tempoh temasya berlangsung.

Beliau turut menjelaskan pusat media itu akan berfungsi sebagai hab penyiaran utama yang dikendalikan oleh TV Sarawak (TVS), selain setiap venue seperti Stadium Sarawak turut dilengkapi pusat media sokongan bagi memudahkan liputan secara langsung di lokasi acara.