370 peserta terima bantuan Program LIFE

KUCHING: Seramai 370 peserta dari seluruh Sarawak menerima bantuan Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Program LIFE merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

Katanya, program terbabit bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan melalui bantuan peralatan yang disesuaikan dengan aktiviti penjanaan pendapatan masing-masing.

“Kejayaan program bukan sahaja diukur berdasarkan bantuan yang disalurkan, tetapi turut dilihat melalui kemampuan peserta meneruskan aktiviti penjanaan pendapatan, meningkatkan pendapatan serta menjadi lebih berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching untuk perkukuh kerjasama Program LIFE, di sini, hari ini.

Kunjungan diketuai oleh Pengerusi Persatuan Aspirasi Pemulihan Prospek Kuching, Adillah Ismail bersama Ketua Bahagian Kepenjaraan dan Koreksional, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Penguasa Penjara Saiful Mohamad.

Seramai empat peserta LIFE berkongsi perkembangan, pengalaman dan cabaran selepas menerima bantuan program.

Sehubungan itu, Fatimah menghargai peranan persatuan itu dalam memantau dan menyokong perkembangan peserta, selain menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan, Pejabat Daerah, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi komuniti.