BINTULU: Penerima Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) perlu mengurus projek secara berhemah dan telus.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini kerana semua projek terbabit akan diaudit malah bagi PPRMS, bukti bergambar perlu dikemukakan selepas projek siap dan sebelum peruntukan baharu disalurkan.
“Setiap peruntukan itu mesti diurus secara berhemah, telus dan menepati tujuan asal agar manfaatnya dapat dirasai secara kolektif, bukannya untuk kepentingan individu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata demikian ketika majlis penyerahan geran MRP Fasa 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.
Seramai 57 penerima menerima geran membabitkan peruntukan RM926,400, di sini, hari ini.
Menurut Dr Rundi, walaupun kerajaan menyediakan peruntukan tetap setiap tahun, penerima diwajibkan memberikan laporan penggunaan dana kepada Unit Pemantauan dan Pelaksanaan (SIMU) bagi memastikan setiap sen dibelanjakan dengan berkesan.
