KUCHING: Seramai 1,350 peserta akan menyertai Konvensyen Antarabangsa PraSekolah Sarawak (SPIC) 2025 yang dijadual berlangsung mulai 26 hingga 28 September ini di Hotel Waterfront di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SPIC 2025 itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS).
Bertemakan ‘Building the Nation Through Quality Early Childhood Education,’ konvensyen itu membuktikan komitmen Sarawak meningkatkan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak sebagai asas pembangunan modal insan, katanya pda sidang media di sini.
Menurut Fatimah, konvensyen itu akan menghimpunkan pendidik antarabangsa dan tempatan, pembuat dasar, penyelidik dan pembimbing kanak-kanak untuk memupuk inovasi, meningkatkan pembangunan secara profesional dan mengeratkan kerjasama antara ECCE.
Para penceramah antarabangsa dan tempatan pada konvensyen itu termasuk Dr. Lily Wong (Singapura), Dr. Joyce Orillosa (Filipina), Kato Sekiichi (Jepun), Sun Hongten dan Peng Yingchun (China), Dr. Nurul Nadiah Sahimi (Malaysia) dan Ibu Rita Yuriko (Indonesia).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar akan merasmikan konvensyen itu pada pukul 3 petang, 26 September, ini.
