PUSA: Jalan akses baharu untuk menghubungkan Klinik Kesihatan Kampung Tuie, Pusa terus ke jalan utama akan dibina bagi memudahkan pergerakan penduduk berurusan di klinik tersebut.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, klinik yang dibina kira-kira 26 tahun lalu kini berdepan cabaran dari segi laluan masuk berikutan perubahan sistem pengangkutan utama penduduk dari sungai kepada jalan darat.
“Kita sudah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan jalan akses baharu ini, namun memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyelesaikan isu berkaitan penggunaan tanah.
“Saya akan berusaha membawa perkara ini kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan sokongan dan peruntukan bagi pembinaan jalan berkenaan,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Kampung Tuie, Pusa hari ini.
Jelas Mohammad Razi, semasa klinik tersebut dibina dahulu, sungai merupakan laluan utama penduduk kampung, menyebabkan kedudukannya menghadap sungai dan tidak mempunyai sambungan terus ke jalan raya.
“Saya bersama Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohammad Norhaizam Ahmad@Narawi berbincang dengan kepimpinan kampung, penghulu, ketua kampung dan lain-lain pihak bagi mencari penyelesaian untuk membina jalan akses baharu yang dapat menghubungkan klinik ini terus ke jalan utama,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu menambah, Klinik Kesihatan Tuie kini menjadi pusat rawatan utama kepada beberapa kampung berdekatan termasuk Kampung Medang, Kampung Supa, Kampung Manggut, Kampung Serabang dan beberapa penempatan lain, menjadikan keperluan menaik taraf akses dan prasarana amat penting.
Katanya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.5 juta bagi pembinaan bangunan baharu klinik, manakala pembinaan jalan akses baharu akan diusahakan Kerajaan Sarawak melalui beliau selaku wakil rakyat Saribas.