KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan bantuan bulanan berjumlah RM224,008,150 di seluruh Sarawak dari Januari hingga September 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini membabitkan seramai 57,001 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.
“Bagi Januari sehingga September, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Kuching menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM42,793,750 untuk 10,776 penerima bantuan bulanan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sejambak Kasih Deepavali Tahun 2025 anjuran bersama PKMB Kuching dan PETRONAS Sarawak di Indian Association Kuching Multipurpose Hall, di sini, hari ini.
Sementara itu di majlis terbabit, Fatimah berkata, seramai 64 penerima bantuan kebajikan India yang beragama Hindu hadir dan setiap mereka menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100.
Ini berserta sumbangan hamper, barangan makanan asas daripada PETRONAS bernilai RM250.