Raptai penuh sambutan Hari Lahir Rasmi TYT Sarawak lancar

KUCHING: Persiapan menjelang Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-79 pada 11 Oktober ini lancar dengan raptai penuh Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Walaupun hujan sekejap, namun raptai yang disertai pelbagai kontinjen daripada agensi kerajaan dan pasukan beruniform berjalan lancar dan teratur.

Ini menandakan kesiapsiagaan menjelang sambutan rasmi pada Sabtu ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua persiapan kini siap sepenuhnya bagi memastikan sambutan tahun ini menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan.

“Raptai hari ini menunjukkan semua kontinjen sudah bersedia,” katanya ketika ditemui semasa raptai di sini, hari ini.

Beliau sehubungan itu menggesa orang ramai hadir memeriahkan sambutan kali ini yang disifatkan bukan sekadar perayaan rasmi, tetapi juga simbol penghargaan terhadap kepimpinan dan jasa besar TYT kepada rakyat Sarawak.

Sambutan empat hari itu dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Kuching pada petang ini, dihadiri TYT dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada 10 Oktober, khutbah khas sempena ulang tahun kelahiran TYT akan disampaikan di semua masjid di seluruh negeri semasa Solat Jumaat, manakala pada sebelah malamnya, majlis kesyukuran pelbagai agama anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan diadakan di Imperial Hotel.

Acara kemuncak sambutan pada 11 Oktober akan menampilkan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka bermula jam 8 pagi, diikuti Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri di Astana Negeri Sarawak.

Pada sebelah malam pula, Majlis Jamuan Negeri akan berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, disusuli Konsert Rakyat dan pertunjukan bunga api yang dijangka menarik ribuan pengunjung di Padang Merdeka.

Sambutan penuh bermakna ini akan melabuhkan tirai pada 12 Oktober menerusi Majlis Jamuan Teh di Sarawak Chamber, Riverside Majestic Hotel.

TYT dan Toh Puan akan menyampaikan sumbangan kepada 120 anak yatim dan asnaf sebagai simbol kasih dan keprihatinan kepada rakyat jelata.