BELAGA: Penduduk Belaga kini boleh menikmati internet berkelajuan tinggi apabila Kerajaan Sarawak melancarkan MySRBN XL, inisiatif baharu berasaskan gentian optik yang menjanjikan sambungan lebih pantas, stabil dan mampu milik.
Malah, MySRBN XL akan menjadi pemangkin kepada kehidupan masyarakat luar bandar, sama seperti bagaimana elektrik dan jalan raya membawa perubahan besar suatu ketika dahulu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaih Narawi berkata, dengan ini, Sarawak bukan sahaja menghubungkan rakyatnya dengan jambatan fizikal, tetapi juga jambatan digital yang membuka akses kepada peluang ekonomi, pendidikan dan sosial yang lebih luas.
“Pelancaran MySRBN XL membuktikan komitmen kerajaan negeri memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam era digital.
“Ini bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi langkah besar untuk menyediakan internet setara standard global,” katanya pada Majlis Pelancaran MySRBN XL di Dewan Masyarakat Belaga di sini, hari ini.
Beliau menambah, walaupun Belaga menghadapi cabaran geografi dan jauh dari pusat bandar, kerajaan terus berusaha memperluas capaian internet supaya penduduk menikmati kemudahan digital setanding kawasan lain.
MySRBN XL ditawarkan sejak Ogos 2025 dengan kelajuan sehingga 100Mbps melalui konsep prabayar berbayar bulanan RM79 tanpa kontrak jangka panjang.
Ia memberikan fleksibiliti kepada pengguna luar bandar dengan kemampuan kewangan berbeza.
“Sebagai tarikan tambahan, pelanggan baharu yang melanggan sebelum 31 Disember 2025 menikmati kadar promosi RM69 sebulan bagi enam bulan pertama. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan bukan sahaja menyediakan internet pantas, malah mampu milik,” katanya.