KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-79 di Masjid Jamek di sini, malam ini.
Ketibaan TYT dan Toh Puan jam 6.26 petang disambut Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anak beliau, Dayang Norjihan.
Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, disusuli alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Kuching.
Doa kesyukuran turut dipimpin oleh Mustapha Kamal sebelum majlis diteruskan dengan solat fardu Isyak berjemaah.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi perayaan tersebut Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Datin Amar Baduyah Bujang.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi, serta tetamu kenamaan lain.